Product  Price Watch  Event  News  Video    Tips  


News

Share

Kegilaan tablet mudah alih

Capt1

KOMPAK...faktor penting dalam perkomputeran kini.

Rata-rata pengeluar tablet mudah alih tampilkan ciri tidak dikeluarkan pesaing

KEGILAAN manusia terhadap teknologi kini tertumpu kepada perkakasan tablet mudah alih yang mendapat perhatian rata-rata pengeluar syarikat elektronik di negara ini untuk menghasilkan peranti dalam kategori PC itu.

Disebabkan pengaruh yang meluas, kebanyakan tablet mudah alih dihasilkan vendor tertentu menjadi ´mainan´ di mana saja mereka berada termasuk dalam bas dan kereta api, bahkan ia menjadi pengganti laptop atau netbook bagi sesetengah pengguna.

Mungkin benar kajian rambang yang dilakukan penyelidik firma kaji selidik terkemuka, IDC mengenai pasaran PC di Asia Pasifik tidak termasuk Jepun yang mendapati pasarannya semakin berkembang satu peratus berbanding suku tahun keempat 2009 dan 38 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu menunjukkan segala-galanya.

Ia juga didapati melebihi lima peratus berbanding jangkaan awal dengan PC notebook terus menjadi pemacu yang melonjak hampir di seluruh negara di rantau ini dengan pertumbuhan dua digit dari setahun ke setahun.

Menurut Pengarah, Penyelidik Peranti dan Perkakasan, IDC Asia Pasifik, Bryan Ma, kenaikan itu belum mengambil kira kecenderungan pengguna ke arah PC tablet atau sebaliknya.

"Namun, keperluan pengguna di Asia hari ini terhubung secara online dan itu sudah pasti mempercepatkan pertumbuhan pasaran PC," katanya.

Faktor keupayaan skrin sesentuhnya memainkan peranan penting dalam pengeluaran tablet mudah alih ini kerana ia dikatakan lebih baik yang menyediakan perkhidmatan sokongan untuk berkomunikasi menerusi Internet.

Ternyata, fungsi skrin peka sentuhan membolehkan pengguna melakukan serta melayari sesebuah peranti dengan lebih baik walau di mana juga mereka berada.

UI berasaskan skrin sesentuh membolehkan tahap produktiviti dipertingkatkan dan memperkayakan corak komunikasi baru melalui apa jua peranti.

Ia dikatakan mudah digunakan dan mesra pengguna kerana direka berdasarkan pengalaman dan pergerakan pengguna melalui kaedah papan kekunci pada peranti perkomputeran.

Ia memiliki dua lapisan yang mengandungi bahan untuk menyebarkan cahaya bagi menghantar dan menerima isyarat membolehkan pengguna memilih menu dan pilihan dengan menyentuh pada skrin.

Terdapat pelbagai kaedah pembuatan skrin termasuk teknologi pengesan dua lapisan, permukaan gelombang akustik (SAW) dan sinar infra merah.

Teknologi pengesanan dua lapisan membolehkan bahagian lutsinar pada bahagian bawah skrin LCD dihubungkan ke litar pengesan pergerakan elektrikal yang mengukur voltan pada koordinasi tertentu.

Penciptaan menggunakan kaedah ini dikatakan tidak menelan kos yang mahal, namun mempunyai jangka hayat pendek.

SAW pula mengesan gelombang ultrasonik pada paparan permukaan yang mengesan koordinasi pergerakan elektrik apabila pen stylus atau jari menyentuh bahagian atas.

Infrared pula menggunakan lampu LED yang mengesan pergerakan melalui grid tertentu sebelum diproses untuk dihantar dalam input pemprosesan.

Setakat ini, syarikat perkomputeran Apple masih berteka-teki dengan teknologi yang digunakan dalam mencetuskan evolusi baru melalui iPad bersaiz 10 inci di pasaran

iPad yang dilancarkan syarikat gergasi elektronik Apple mewujudkan satu gelombang baru di kalangan peminat industri berteknologi dan perkakasan elektronik di seluruh dunia.

Ramai yang tertanya-tanya sama ada teknologi komputer tablet yang diperkenalkan itu mampu membawa perubahan industri tablet PC ke tahap baru berdasarkan kepakaran Apple dalam bidang perkomputeran serta prestasi iPhone sebelum ini.

Apapun, pengumuman Apple untuk memasarkan iPad di seluruh dunia termasuk Asia menjelang akhir tahun ini sedikit sebanyak memberikan maklum balas positif kepada pengguna yang rata-rata menunggu kemunculannya di pasaran tempatan.

Sehingga kini, negara paling terdekat yang menjual iPad ialah Singapura dengan harga anggaran kira-kira RM2,000, sekiranya ia memasuki pasaran Malaysia, tidak dipastikan sama ada iPad akan diikat bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan.

iPad menyokong teknologi terkini WiFi 802.11n dan versi 3G untuk kelajuan sehingga 7.2 Megabit persaat menerusi rangkaian HSDPA.

Ia dihasilkan dengan ketebalan 0.5 inci dan berat sekitar 0.68 kilogram, menjadikannya lebih nipis dan ringan berbanding laptop atau netbook.

Seperti diketahui ramai, iPad mengguna pakai aplikasi 12 pelbagai sentuh generasi akan datang yang berfungsi dengan baik bagi paparan secara mendatar atau memanjang, sekali gus memberikan kemudahan ketika melayari Internet.

Membaca dan menghantar e-mel kini lebih selesa dengan skrin iPad yang lebih luas berbanding telefon pintarnya, iPhone apabila ia mampu memaparkan papan kekunci maya bersaiz sebenar untuk kemudahan menaip.

Apple turut memperkenalkan versi terbaru iWork untuk iPad yang dipertingkat daripada kelas desktop untuk disesuaikan bagi kegunaan paparan pada skrin sesentuh khusus untuk membantu kerja dokumentasi dan pembentangan rasmi.

Seperti iPhone and iPod, iPad turut menggunakan standard Apple 30-pin ke kabel USB bagi membolehkan pengguna membuat sambungan terus ke komputer bagi pemindahan data dan kandungan multimedia yang dimuat turun pengguna.

Skrin iPad yang berkeluasan 9.7 inci menggunakan teknologi paparan LED untuk memaparkan kecerahan dan kehalusan imej berwarna yang optimum dengan sudut pandangan hampir 178 darjah.

Ia dijana menggunakan teknologi sistem-dalam-cip terbaru Apple, A4, yang menawarkan prestasi prosesor dan grafik mengagumkan dengan tempoh penggunaan sehingga 10 jam untuk sekali cas.

Ketua Eksekutif Apple Inc, Steve Jobs berkata, ia adalah produk revolusi antara komputer riba dan telefon pintar.

"Semua biasa dengan penggunaan komputer riba dan telefon, namun persoalan yang timbul sekarang sama ada terdapat ruang untuk memperkenalkan perkakasan kategori ketiga iaitu di antara komputer riba dan telefon pintar," katanya.

Jobs berkata, fungsi iPad yang menurutnya merangkumi pelayaran Internet, bermain permainan komputer, mendengar muzik dan menonton video definisi tinggi (HD).

"Baterinya berupaya bertahan selama 10 jam. Saya mengambil penerbangan dari San Francisco ke Tokyo dan menonton video di sepanjang perjalanan dengan hanya sekali cas," katanya.

Selepas beberapa lama kegilaan iPad dipertontonkan kepada pengguna, masyarakat digemparkan semula dengan peranti jenis sama yang dikeluarkan Research In Motion (RIM) menerusi BlackBerry Playbook.

Produk Kanada itu menampilkan tablet mudah alih yang didatangkan dengan skrin sesentuh tujuh inci dan kamera berkembar definisi tinggi. Pada masa sama, RIM turut memperkenalkan sistem operasi BlackBerry Tablet bagi menyokong peralatan itu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Bersama RIM, Mike Lazaridis berkata, ia mempunyai keupayaan WiFi dan Bluetooth yang disambungkan dengan telefon pintar BlackBerry bagi mendapat akses rangkaian untuk panggilan telefon.

"Pengalaman melayari web yang diberikan BlackBerry Playbook mampu menyokong perisian multimedia Flash yang kerap digunakan pemilik komputer iaitu fungsi yang tidak terdapat pada pesaing," katanya.

Syarikat itu menjangkakan Playbook akan dijual seawal tahun depan yang dijangka menyaingi barisan tablet keluaran syarikat lain.

BlackBerry PlayBook dikatakan sebagai perkakasan sempurna bagi kegunaan individu mahupun organisasi besar yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna, terutama melayari web dan multimedia berprestasi tinggi.

"Ia menggunakan sistem operasi QNX yang menyediakan ciri keselamatan moden, sokongan enterpris dan menjadi perintis kepada pemaju serta penggunaan enterpris," katanya.

Model BlackBerry PlayBook didatangkan dengan skrin lebih besar bagi membolehkan penggunanya menyunting dokumen, menonton fail media atau memadam data.

Sehingga kini, RIM belum menentukan harga pasaran sebenar bagi model BlackBerry PlayBook tetapi berkata, ia dijangka dijual pada paras lebih rendah berbanding tablet mudah alih sedia ada di pasaran.

"Ini adalah tablet profesional yang pertama di dunia," kata Lazaridis ketika mempamerkan peranti itu di San Francisco.

"Anda akan melalui pengalaman penuh ketika melayari laman web," kata Lazaridis.

PlayBook juga menonjolkan kamera di bahagian hadapan dan belakang bagi menyokong sidang video dan membolehkan penggunaan beberapa program serentak.

Samsung Galaxy Tab pula adalah tablet yang menyumbang kepada industri perkomputeran di pasaran dengan pengeluarnya, Samsung menjangkakan saingan hebat untuk mendapatkan peranti buatan Korea Selatan itu.

Galaxy Tab yang dipertontonkan untuk pertama kali di Berlin, Jerman mempunyai skrin sesentuh berkeluasan tujuh inci, saiz yang lebih kecil, 9.7 inci berbanding iPad dan menggunakan sistem operasi Android 2.2 Google.

Tablet mudah alih yang mempunyai berat 380 gram iaitu hampir separuh lebih ringan berbanding iPad itu dilancarkan di pasaran Eropah menjelang pertengahan September lalu manakala beberapa kawasan di Korea Selatan, Amerika Syarikat dan sekitar Asia dilancarkan pada bulan ini.

Ketua Unit Komunikasi Mudah Alih Samsung, JK Shin berkata, syarikatnya menyedari potensi yang besar dalam pasaran baru ini dan yakin Samsung Galaxy Tab akan membawa keunikan bagi membuka lebih ruang dalam pasaran.

Sememangnya, manusia kini dilanda demam tablet mudah alih sehinggakan terdapat juga khabar yang mengatakan syarikat elektronik Toshiba turut merancang untuk memperkenalkan tablet mudah alih keluarannya.

Pesaing Samsung, LG Electronics sebelum ini berjanji akan memperkenalkan komputer tablet sebelum akhir tahun.

Segmen tablet mempunyai saiz dan memori yang lebih kecil berbanding desktop, notebook atau netbook, namun ia diminati kerana lebih besar berbanding telefon pintar.

Kita sebagai pengguna mempunyai pilihan yang baik untuk menentukan penggunaan perkomputeran masing-masing, namun perlu memastikan ia menepati kaedah berkomunikasi seharian.

by Afiq Hanif

Published Date : 06 October 2010  

Source : Harian Metro



Thanks for tkanig the time to post. It's lifted the level of debate
 
Name*
Email*
 I want to register on myGadget.
Already a member? Click here to login. (ignore Name and Email above if you want to use this option)

Login

Username :

Password :

[forget password]


Comment*
 
Math Question*   

Check your answer first before submit button is enabled

Back to previous page

This will be shown to users with no Flash or Javascript.

Related News
Most Accessed News    

news image bank

NSTP e-Media on Facebook

Custom Search


Terms of Service |  Privacy Policy |  RSS |  Copyright © NSTP e-Media Sdn Bhd (411895-A)   Best viewed in 1280x1024 resolution.